Saturday, 4 August 2012

AdaB-aDAb ketika BerPUasa

Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang 
boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:  
1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang 
tiada kena-mengena dengannya;  
2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang 
oleh syarak dan yang sia-sia;  
3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang 
mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk 
menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.  
Ulama silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan 
dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?” Ia adalah panduan 
yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak  dengan unsur-unsur makanan yang 
tidak halal;  
4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati 
atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan 
suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, 
membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak 
binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.: 
Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan 
dahaga. (Riwayat an-Nasaei)  
Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka 
sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan 
diwajibkan. Sabda Rasulullah, Puasa itu adalah ‘perisai', sekiranya seseorang daripada 
kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan 
berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya  atau cuba memeranginya maka 
hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan 
Muslim);

5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan 
bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan 
demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia 
dan intipati puasa yang perlu dicapai;  
6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis 
makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa 
dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan 
keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang 
amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.  
Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka 
yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan 
iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat 
limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir 
kepada-Nya.  
Kenyang 
Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah 
kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati 
dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t..  
Sabdanya: Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, 
memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika 
dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua 
untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya. (Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi)  
Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang 
anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu 
lapar kesemua anggotamu akan kenyang.”  
As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan 
diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus bahkan itulah 
adat mereka sepanjang masa;  
7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia 
tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada 
mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada 
bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan 
bagi amalan akhirat;  
8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka 
dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta 
melambatkan makan sahur.  
Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda: Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat)  selama mana mereka 
mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur. 
(Riwayat Bukhari dan Muslim);  
9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan 
beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang 
yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat alBaihaqi dan Ibnu Khuzaimah)  
10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.  
Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat terawihnya 
seperti mana amalan kebiasaan di masjid dan surau. 
Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadat solat tersebut kerana meninggalkan ‘wajibwajib' solat seperti meninggalkan tomakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan 
al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu 
sehingga menyebabkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. 
Amalan terawih seperti itu adalah tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.  
Oleh itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah 
solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan kiam, bacaan al-Fatihah, rukuk, sujud, 
khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.  
Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya sepanjang solat terawih itu 
sehinggalah selesai sama ada 20 rakaat ataupun lapan rakaat. Sabda Rasulullah s.a.w., 
Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) 
beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala kiam semalaman. (Riwayat an-Nasaei)

No comments:

Post a Comment